ALBUM SAING2

Related Posts with Thumbnails

Friday, March 5, 2010

EPF umum dividen 5.65 peratus bagi 2009

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, dengan peningkatan sebanyak 115 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus yang dibayar pada tahun 2008.

Kadar dividen itu diumumkan setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion, yang merupakan peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion pada 2008.

“2009 merupakan tahun yang penting bagi KWSP kerana berjaya keluar dari krisis kewangan global. Walau pun KWSP terus berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan, pelaburan KWSP berupaya memberikan prestasi yang kukuh pada tahun itu,” kata Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman.

Pada tahun yang dikaji, sebanyak 72.53 peratus pelaburan dilaburkan dalam Instrumen Berpendapatan Tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah yang diamalkan KWSP, sementara 27.05 peratus dilaburkan dalam pelaburan ekuiti dan selebihnya dalam hartanah.

Setakat 31 Disember 2009, portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada 2008.

Mengenai prospek 2010, Samsudin berkata: “Prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global."

Beliau berkata keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberikan kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Kami akan terus memberikan tumpuan kepada matlamat utama KWSP melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan nyata yang munasabah,” kata Samsudin.

- Bernama

No comments:

Post a Comment