ALBUM SAING2

Related Posts with Thumbnails

Friday, July 2, 2010

Untung bersih susut - Shamsul

Oleh SARAH NADLIN ROHIM


Shamsul Azhar Abbas membentangkan keputusan kewangan terbaharu Petronas di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Julai - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak 23 peratus kepada RM40.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 berbanding RM52.5 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh permintaannya yang lemah dan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Ini merupakan kali pertamaShamsul membentangkan laporan kewangan selepas mengambil alih tampuk teraju Petronas daripada Tan Sri Hassan Marican pada Februari lalu.

Bagi tahun kewangan yang sama, Petronas turut mencatatkan penurunan perolehan sebanyak 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion berbanding RM264.2 bilion sebelumnya.

Shamsul berkata, kejatuhan tersebut adalah disebabkan penyusutan pada harga produk dan jumlah jualan yang rendah.

''Tahun kewangan yang baharu berakhir adalah tempoh sukar dan mencabar buat Petronas apabila dunia mengalami kejatuhan ekonomi yang teruk sejak kemelesetan teruk pada 1930 memberi kesan kepada industri minyak dan gas.

''Dengan perbelanjaan konsumer menjunam dan pengeluaran industri menurun, permintaan terhadap bekalan tenaga turut terkena tempias apabila ia menyusut buat pertama kali sejak tiga dekad lalu dengan berkurangnya permintaan terhadap minyak dan gas,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Kewangan, Datuk George Ratilal, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Gas, Datuk Anuar Ahmad, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Pengeluaran dan Carigali Datuk Wee Yiaw Hin.

Shamsul berkata, dengan keputusan kewangan itu, bayaran royalti kepada kerajaan Persekutuan dan negeri turut berkurang sebanyak 22.2 peratus kepada RM57.6 bilion berbanding RM74 bilion pada tahun lalu.

Sehubungan itu, kata beliau, Petronas juga membayar cukai yang lebih rendah kepada kerajaan berjumlah RM10.7 bilion.

Shamsul menjelaskan, pembayaran royalti itu juga termasuk dividen sebanyak RM30 bilion, hasil petroleum sebanyak RM8.3 bilion dan duti eksport sebanyak RM0.6 bilion.

''Pembayaran dividen berjumlah RM30 bilion itu mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 74 peratus pada tahun kewangan itu berbanding 57 peratus sebelumnya.

''Selain bayaran yang dibuat kepada kerajaan, Petronas juga terus menanggung subsidi bekalan gas kepada sektor tenaga dan bukan tenaga domestik sebanyak RM18.9 bilion, jatuh sedikit berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM19.5 bilion,'' katanya.

Secara terkumpul Petronas telah menanggung subsidi berjumlah RM116.4 bilion sejak Mei 1997.

Mengulas tinjauan tahun kewangan semasa, Shamsul mengunjurkan keputusan yang lebih baik untuk tahun 2011 tetapi mengakui syarikat minyak negara berdepan dengan kesukaran dalam menguruskan kosnya.

''Petronas berada dalam keadaan selesa dengan keputusan kewangan yang dicatatkan untuk suku pertama pada tahun kewangan ini,'' kata beliau lagi.

Shamsul berkata, purata harga minyak mentah Malaysia dijangka berada pada paras AS$70 (RM224) hingga AS$80 (RM256) setong berdasarkan tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2011.

''Harga minyak mentah sepatutnya bergerak antara AS$70 hingga AS$80 untuk sepanjang tahun ini. Kami akan selesa dengan harga tersebut,'' katanya.

Shamsul berkata, Petronas juga memperuntukan RM40 bilion bagi perbelanjaan modal pada 2011 berbanding RM37 bilion sebelumnya, tambahnya.

Beliau menambah, bagi tahun kewangan 2010, pengeluaran minyak Petronas jatuh sedikit kepada 1.75 juta tong sehari berbanding 1.8 juta tong sehari pada tahun lalu.